Sep 20, 2024 - FASSelangor FC membawa pulang satu mata dalam perlawanan saingan AFC Champions League Two (ACL2) 2024/25 Kumpulan H semalam menentang Muangthong United F.C. dengan keputusan 1-1 di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Thailand.
Penyerang import Selangor FC, Ronnie Fernandez telah menjaringkan gol sulungnya dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) 2024/25 untuk Selangor FC pada minit ke-47 selepas lorongan daripada Yohandry Orozco disudahkan dengan ledakkan kaki kiri Ronnie Fernandez. Perlawanan saling berbalas serangan terutamanya di babak kedua, namun berakhir dengan keputusan 1-1 selepas Purachet Thodsanit mengikat jaringan gol pada minit ke-54.
Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, menganggap perlawanan ACL2 menentang pasukan-pasukan besar mampu mengembangkan persembahan pasukan dari masa ke semasa.
“Sudah semestinya kita mahukan kemenangan tetapi keputusan seri adalah permulaan yang baik untuk kami dalam ACL2 ini. Terdapat banyak perkara yang berlaku semasa perlawanan, saya bersetuju bahawa kami mempunyai pilihan untuk melakukan lebih banyak penggantian terutamanya di bahagian serangan tetapi saya perlu mempertimbangkan banyak perkara sebelum membuat keputusan, tambah lagi apabila kita mempunyai peluang yang banyak di separuh masa kedua. Perkara paling baik saya boleh katakan adalah perlawanan seperti ini akan membantu kami berkembang lebih baik dan sama-sama belajar banyak perkara sebagai satu pasukan, terutamanya jika kita dapat menyertai pertandingan seperti ini dari masa ke semasa,” jelas Nidzam Jamil.
Daripada perlawanan #MTUSFC dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) 2024/25 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
AFC memilih Ronnie Fernandez sebagai MoTM
Penyerang import Selangor FC, Ronnie Fernandez terus mendapat retaknya untuk menjaringkan gol secara konsisten, beliau menambah lagi jumlah jaringan golnya semalam pada minit ke-47 buat Selangor FC dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) 2024/25. AFC telah menobatkan Ronnie sebagai Man of The Match #MTUSFC sebaik sahaja tamat perlawanan semalam.
Azim Al Amin terus cemerlang di pentas Asia
Azim Al Amin sudah semestinya antara nama yang sering diperkatakan dalam perlawanan semalam sejak persembahan cemerlangnya dalam saingan Liga Super minggu ke-10 yang lalu. Beliau sekali lagi menebus kepercayaan ketua jurulatih dengan aksi baiknya dalam perlawanan semalam. Biarpun bolos satu jaringan gol, namun Azim telah menyelamatkan gawang Selangor FC daripada serangan-serangan bahaya Muangthong United F.C. Beliau mempamerkan ketenangan dalam memastikan Selangor FC tidak bolos dengan mudah.
Setakat ini, Jeonbuk Hyundai Motors mendahului Kumpulan H dengan tiga mata penuh, diikuti Muangthong United F.C. dan Selangor FC terikat dengan satu mata dan Cebu F.C. di tempat keempat.
Perlawanan seterusnya menyaksikan Selangor FC berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 28 September ini menentang Terengganu FC bagi saingan Liga Super ke-11 pada jam 9 malam.
Selangor FC berterima kasih kepada para penyokong yang terbang ke Thailand untuk memberi sokongan kepada pasukan.
Pihak pengurusan Selangor FC berharap pengalaman beraksi di pentas Asia ini dapat digunakan bagi membuat penambahbaikan kepada pasukan untuk beraksi dengan lebih cemerlang dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.
Demi Kebanggaan!